Thursday, July 31, 2008

Kota Indah Itu

Kota indah itu

Kota indah itu sama-sama kita teroka
Ada waktunya kita luka
Ada kalanya kita sempurna
Kita genggam dendam
Pada panji dan janji sakti
Yang berkata tentang falsafah
Yang memacu tentang pembangunan
Yang berinpirasikan sebuah negara bertamadun

Kota indah itu kita reka sebuah istana
Bukan untuk raja
Bukan untuk perdana
Bukan untuk yang dipertua
Bukan untuk menterinya
Bukan untuk Yang Berhormatnya

Kota itu adalah dibina
Kerana agama dan bangsa
Kerana jelata kita
Kerana amanah mereka untuk kita

Kota indah itu
Adalah kita warganya
Bukan mereka yang durjana
Atau si pembelot agama dan bangsa

Kita indahkan dan binakan istana itu
Kerana izin yang maha Esa
Kerana kita adalah sebuah warga
Yang punya maruah dan sahsiah

Bukan seperti mereka
Yang ada kesombongan
Kezaliman, kemaksiatan,
Penipuan, penyalah guna kuasa
Penindasan, perampokan licik...
Harta bertimbun di luar negara
Dan ada paksi dan proxinya








Ingatlah kita yang di bawah
Sekiranya kita bina kota itu untuk mereka sang penguasa
Lalu tangan-tangan mereka
yang merekacipta hukum dan bencana
Dengan redha kita
Bermakna kita sama seperti mereka
yang rugi antara syurga dan neraka

Jadilah kita bakal menerima sumpah
Generasi yang merasa padah
Lalu diroboh istana dan kota mercu tanda
Dengan kata-kata pengkhianat agama dan bangsa
Atau diledakkan dengan huru-hara
Kerana mereka sudah tidak punya apa-apa
Tunggu dan lihat saat itu
Jika kita hari ini gagal dalam reformasi
Atau takut pada suci arus tsunami

Ingatlah sang penguasa dan ahli koprat yang keparat
Yang kononnya membina untuk bangsa
Sekiranya seinci hartanah kami
yang kau gadaikan tanpa untuk jelata
dan atas kepentingan pribadi yang hakiki
akan kami haramkan
tidak redha untuk dirimu dan anak cucu
sehingga kau kembalikan pada kami jelata
kerana kami jika diberi jalan
pasti mampu membina sendiri

Pada jelata
Buka minda dan hati
Bersih rohani dan jasmani
Jauhi kroni dan kapitalisme

Maka terbukalah di kota ini
Harapan baru bangsa harmoni
Yang dimiliki kita semua
Warga reformasi dan bangsa madani
Pewaris demokrasi dan bumi sejati